Lidah Buaya ( Aloe Vera (L) Burm.f )
Ianya dikenali sebagai “tumbuhan ajaib” yang mempunyai ciri-ciri penyembuhan ulung. Herba ini mengandungi gabungan lebih daripada 200 komponen yang aktif, mineral, vitamin dan enzim yang menambahkan kecergasan, membantu melegakan kesakitan, menyembuhkan luka-luka kecil dan menguatkan badan.
Pegaga ( Centella asiatka (L) Urban )
Ianya sering digunakan di dalam sistem perubatan di China, Madagascar dan “ayurvedik” India. Di Malaysia pegaga dimakan sebagai ulam dan dipercayai baik untuk mengekalkan keremajaan.
Kunyit ( Curcuma domestica Loir )
Merupakan sejenis rempah yang sering digunakan di dalam masakan Asia dan perubatan tradisional sejak dahulu kala. Ia juga bertindak sebagai antibiotik dan membantu proses penghadaman. Di Malaysia kunyit sering digunakan sebagai kosmetik.
Melegakan dan Menenangkan
Serai Wangi ( Cymbopogon nardus (L) Rendle )
Minyak Serai Wangi digunakan dalam losen, sabun, minyak wangi dan ubat cegah serangga. Di Malaysia minyak tumbuhan ini diberi dalam dos kecil untuk melegakan sengal-sengal perut dan membantu proses penghadaman.
Pandan Wangi ( Pandanus odorus Ridl. )
Kegunaan Pandan Wangi lebih kepada bahagian daunnya yang wangi dan akarnya. Daun pandan wangi digunakan sebagai bahan pewarna hijau dalam pembuatan kuih-muih tradisional dan juga sebagai bahan campuran dalam pembuatan bedak sejuk. Abu daripada daun pandan wangi ini turut digunakan untuk membuat cuka dan losyen bagi merawat penyakit campak.
Halia ( Zingiber officinale Roscoe )
Halia adalah merupakan salah sejenis herba Asia yang paling lama digunakan dalam penyediaan ubat penawar herba. Secara tradisi, rizom ini digunakan untuk membersihkan badan, menghilangkan rasa loya serta membuka selera makan. Ia juga digunakan untuk mengubati asma, reumatisme dan kerangsangan di dalam sistem perubatan “ayurdevik”.
Mewangikan dan Mengharumkan
Kayu Manis ( Cinnamomum zeylanicum Blume )
Kayu Manis adalah salah satu jenis rempah yang paling lama digunakan. Di seluruh dunia, kulitnya digunakan dalam masakan. Minyak kayu manis popular digunakan sebagai perisa makanan, dicampurkan dalam minyak wangi serta barangan pergigian dan farmasi. Kayu manis mempunyai ciri-ciri antikulat dan antikuman. Minyaknya digunakan untuk merawat kembung (flatulence), cirit-birit (diarrhoea, disenteri (dysentery) dan pelbagai penyakit lain.
Serai ( Cymbopogon citrates (D.C) Stapf. )
Serai adalah rumput wangi tropika yang paling hampir dengan serai wangi. Disebabkan bau lemonnya yang kuat, minyaknya digunakan secara meluas dalam wangian sabun, pembersih detergen dan barang-barang lain. Minyak Serai digunakan untuk mengubati kembung (flatulence), pergerakan usus yang tidak tetap dan rangsangan gastric, serta baik untuk merawat reumatisme dan salah urat.
Sumber : TAMAN HERBA NEGERI PERLIS
No comments:
Post a Comment